Friday, 24 April 2020

Dunia yang Berehat

Corona.
Datang kau.. tidak diundang,
Penangan kau juga bukan kepalang.
Kami lena dalam celik, dalam diam kau merangka usaha.
Diri kau itu yg tiada kelihatan oleh sepasang mata, disangka tidak mungkin membawa petaka.
Sukar dipercaya, bahawa tubuh kecil kau itu berhasil menggegarkan dunia.

Matahari tetap terbit seperti biasa, muncul di timur.. hilang di barat.
Tapi dgn hadirnya kau ke dunia ini, menjadikan hari kami luar biasa.
Harian Nafas kami telah berbeza, dihalang kain berlapis dua dan tiga.
Kau bebas menjangkiti kesana kemari, sedangkan kami terkurung rapi, merana diri.

Kami mungkin tidak tahu mengapa semua ini terjadi,
Bahkan kami tidak mengerti mengapa ujian ini yg tuhan beri.
Banyak manusia yg harapannya hancur hari ini.
Banyak jiwa yg masih memujuk diri untuk bangkit melawan hari.

Mungkin bumi ini terlalu lelah menahan perbuatan tangan² kami.
Bumi tampaknya seperti mahu berehat dari kekacauan manusia.
Dia seakan mahu kita merenung dan menoleh kebelakang.
Agar kita boleh melihat langkah kita yg sudah tersalah arah.

Hujan air mata, telah menganti senyum menjadi perhiasan dunia.
Awan tidak lagi meneduhkan, tapi seakan bersedih melimpahkan segala beban.
Doa telah kami panjatkan, namun jawapanya tidak lagi kelihatan.
Apakah tuhan tidak menjawab, atau aku yg buta tidak sabar menunggu pemberiannya ?

Kami tahu.. kami harus bangkit,
Kami tahu.. kami adalah pejuang.
Mungkin yg kau lihat tubuh kami semakin lemah dan layu dimakan waktu.
Tetapi banyak jiwa-jiwa kami yg masih kukuh tapaknya utk melangkah dan berjuang.
Kami mungkin telah jatuh, tapi kami tidak akan terus jatuh jika kami kekal bersatu.

Semoga Kau tidak menetap dan lekas pergi , Supaya bumi ini boleh tersenyum kembali.
Lekaslah sembuh dunia, banyak harapan yg sedang menunggu untuk menjadi nyata.
Kami percaya, 'Dia' yg mendatangkan ujian, pasti juga mendatangkan rahmat.

- Renotak -

No comments:

Post a Comment