Tuesday, 13 July 2021

Senja yang Pernah

Kepada kamu, yang pernah menjadi watak utama dalam jalan cerita ku.

Aku pernah menjadi senja yang kau tunggu indahnya. Kamu adalah seseorang yang aku sangka selamanya. Namun aku hanya mempertahankan seseorang yang singgah sementara.

Aku hanya jiwa yang mencuba. Cuba memberikan apa ada ku semahu mu, meneduhkan mu dengan kekuatan ku. Tapi masih juga tidak mampu memenuhi kantung kehendak mu. Sehingga pada suatu saat, aku berusaha mencari jiwa mu yang hilang namun terlupa untuk mencari diri sendiri.

Maaf, aku tidak mampu memenuhi segalanya. Kerana untuk memenuhi puasnya manusia, tidak akan pernah cukup.

Kisah yang pernah kita karang, pada hakikatnya bukan tentang indahnya kamu dan aku. Tetapi hanya tentang kamu. Tiada 'aku' dalam kata 'kita'.

Pesanku, dunia ini bukan lah dunia dongeng. Banyak kurang yang tidak mampu di isi oleh semua orang. Dunia ini punya banyak jiwa. Semua jiwa itu tidak akan mampu untuk kamu ubah bagi memenuhi jangkaan mu yang terlalu tinggi.

Kamu pergi ketika aku sedang tumbuh, tumbuh mencari diri bagi membentuk budi.

Patah hati terhebatku adalah ketika aku menyangka kamu yang terakhir. Namun pada hujungnya kamu menjadi yang mungkir.

Tidak mengapa. Tiada siapa yang salah dalam jalan cerita kita. Yang salah hanya keadaan. Keadaan yang mendesak harapan. Terkadang, harapan boleh menjadi makhluk yang paling kejam.

Aku masih di sini. Sedang tumbuh melihat mu bahagia mencari kehendak mu. 

Terima kasih ya, kerana mengajarkan aku bagaimana itu berjuang tapi tidak dianggap. Mengajar juga aku tentang berharap, tapi tidak menetap.

Senja yang Pernah,

- Renotak