Sunday, 26 December 2021

Hakikat Disember

Perlahan..
Kita akan disapa januari.
Setelah Disember yang sedang pergi.
Dijemput tahun baru yang berganti
dan kita akan mula berazam lagi.
Walau azam yang lalu hanyut tak bertepi.

Bagaimana dengan diri ? 
Adakah masih berjuang sekuat hati ?
Atau baru ingin memulai ?
Apa khabar dengan luka yang tersembunyi ?
Sudah menjadi parut, atau jahitannya kembali ditetas 
oleh harapan baru yang kembali tersemat ?
Adakah masih bersedih dengan kejadian dan kepergian ?

Sepertinya.. kita masih berselindung dibalik tawa.
Masih Menyembunyi rasa dibelakang kata.
Menahan jujurnya hati yang dikurung simpati.

Sudahlah, luka tidak sembuh dengan tertawa.
Yang pergi tidak kembali dengan air mata.
Yang dahaga usah diolok dengan sendawa.
Yang berkhianat, tidak kembali mengingati janjinya.
Lepaskan apa yang terbeban,
Kesatkan air mata yang tersisa.

Tidak mengapa,
Di mana pon kita sekarang, 
Jangan pernah berhenti berjuang,
Jangan selalu berasa kurang.
Kita mungkin terfikir dunia tidak adil,
Seakan bermusuh dengan kehendak kita si jahil.

Usah khawatir.
Cuma yang perlu kita tahu adalah..
Adil pada kehendak manusia itu terlalu rumit.
Akal manusia terlalu dangkal untuk menilai yang adil.
Kerana itu wujud yang Maha Adil,
yang memberi bukan pada kehendaknya manusia,
Tetapi pada apa perlunya kita.

Bertenang jiwa yang sedang berjuang.
Kita hanya mengikuti alur fikir kita,
Namun takdir membawa kepada perancanganNya.
Kerana itu adalah yang terbaik untuk kita yang bergelar hamba.

Biarkan setahun ini untuk kita renungi bersama,
Jika di izinkan usia,
Masih ada tahun lain yang boleh kita isi dengan bahagia.
Barangkali ulam datang bersama pucuk yang dicita.

Terima kasih pada hari-hari di tahun ini, 
yang banyak mengajarkan tentang manusia, 
tentang dunia, 
Dan
tentang kita.

Semoga tahun selanjutnya mahu bersahabat,
Dan kita terus kuat menelan hakikat.

- Renotak

Monday, 15 November 2021

Dewasa Ini

Hidup dewasa itu rumit
Penuh dengan berpura-pura.
Bukan sahaja orang sekitar yang berpura.
Juga diri sendiri yang lupa untuk jujur dengan rasa,

Sehingga membohongi keikhlasan,
Menerima keputusan dengan keterpaksaan,
Mekar tersenyum walau hati jatuh merudum,
Masih teguh berdiri walau ditikam belati iri,
Terus menyakiti diri demi menjaga hati,
Kekal bersahabat walau pernah dikhianat.

Segagah itu kita menyembunyi rasa,
Masih ada yang tidak senang,
Pada hakikatnya kita ini sedang tidak tenang.
Sentiasa kurang untuk memenuhi ruang.
Banyak kemahuan orang yang perlu diberi peluang.
Banyak jurang yang harus dikurang.
Pada akhirnya ada sayang yang terpaksa dibuang.

Manusia tidak pernah berasa cukup
Tidak juga rasa cukup dengan manusia lain.
Padanya kita ini penuh cela dimata,
Tiada yang elok seluruhnya.

Jadi.. usahlah dibazirkan hidup dengan dengkinya manusia.
Teruskan apa mahu kita.
Luaskan apa impian kita.
Dunia itu luas, mengapa harus disempitkan dengan manusia yang tidak punya jiwa ?

Kita adalah kita.
Kekalkan siapa diri kita

- Renotak

Saturday, 6 November 2021

Halaman Akhir


Helaian terakhir dari buku kita.

Teruntuk kamu yang pernah menjadi watak yang berharga.
Sudah begitu banyak waktu berlalu,
Masih lagi aku dihimpit dengan kesakitan yang pernah kau tinggalkan.
Hati melarat mengenang semua perit dan derita dalam janji yang terbelit.

Itu adalah sebuah kesalahan dalam pilihan.
Aku lebih memilih mengenangkan yang buruk berbanding yang elok. 
Dalam kisah kita, tidak semuanya rosak.
Masih ada yang elok dalam setandan kisah.
Banyak yang kita belajar dari air mata yang tumpah.

Tidak akan kubenci dengan kisah kita.

Kenapa perlu untuk membenci ?
Sedang pada hakikatnya kau pernah menjadi sebuah alasan untuk aku maju ke depan.
Pernah menyembuhkan disaat aku terdampar ditepian kegagalan.
Kau yang pernah menerangkan jiwa yang diasak kekusutan.

Ramai menyarankan untuk aku melupakan. 
Malah kau juga meminta sedemikian.

Tenanglah..
Dirimu telah aku maafkan sekian lama. Cuma tidak mampu untuk aku melupakannya.
Kerana.. ada dua jenis manusia yang sukar untuk aku lupakan.
Pertama, manusia yang pernah aku cintai.
Kedua, manusia yang berkhianat pada janji.
Lebih sukar untuk dilupakan seandainya.. 
yang berkhianat pada janji itu adalah seseorang yang aku cintai.

Aku tidak melupakan, bukan bermakna aku tidak bergerak dari masa yang nyata dan menerima yang nyata.
Aku hanya ingin mengenangkan kisah ini sebagai sebuah pengajaran kepada hati sendiri yang mudah mempercayakan.

Masa lalu tidak disesalkan,
Masa depan tidak dikhawatirkan,
Nikmatilah masa kini dengan keyakinan.

Aku tutup buku cerita kita dengan ucapan maaf dari diri yang terkhilaf.

Akan ku coret buku yang baru dengan nafas baru.
Terima Kasih dan Maaf..
dari aku yang penuh cela.

- Renotak

Sunday, 10 October 2021

Semangat yang Terkubur

 


Kepada kamu yang pernah hadir,

Tiada yang salah dalam cerita kita.
Tiada yang mampu kita lakukan ketika keadaan tidak lagi mengizinkan,
Dan juga..
ketika hubungan tidak lagi mampu bertahan dengan perasaan.

Pundak ku ini pernah gagal menahan ratapan mu.
Tidak mampu menampung kehendak mu.
Kita telah sama-sama gagal.
Pada akhirnya, jalan kita tiada tuju.
Tegak lah dengan pilihan mu itu.
Bahagia yang baru menanti di penghujung jalan.

Pesanku..
Hargai pundak baru mu itu secukupnya.
Jangan di ada-adakan perkara yang tiada.
Jangan mengolah sesuatu yang tiada perlu diubah.
Dan..
Jangan lah dikecewakan jiwa yang berlindung kepada mu.

Doakan diri ini menemui kembali dimana letaknya diri.
Tahniah untuk hari bahagia.
Semoga kamu terus menua bersama bahagia yang kamu punya.
Ketahuilah bahawa cinta sejati tidak akan berakhir dengan bahagia.
Kerana cinta sejati tiada akhirnya.

Semangat cinta kita telah ku kuburkan bersama kenangan dan harapan.
Aku tetap menjadi aku.
Selamat tinggal, suatu yang pernah.

- Renotak


Tuesday, 13 July 2021

Senja yang Pernah

Kepada kamu, yang pernah menjadi watak utama dalam jalan cerita ku.

Aku pernah menjadi senja yang kau tunggu indahnya. Kamu adalah seseorang yang aku sangka selamanya. Namun aku hanya mempertahankan seseorang yang singgah sementara.

Aku hanya jiwa yang mencuba. Cuba memberikan apa ada ku semahu mu, meneduhkan mu dengan kekuatan ku. Tapi masih juga tidak mampu memenuhi kantung kehendak mu. Sehingga pada suatu saat, aku berusaha mencari jiwa mu yang hilang namun terlupa untuk mencari diri sendiri.

Maaf, aku tidak mampu memenuhi segalanya. Kerana untuk memenuhi puasnya manusia, tidak akan pernah cukup.

Kisah yang pernah kita karang, pada hakikatnya bukan tentang indahnya kamu dan aku. Tetapi hanya tentang kamu. Tiada 'aku' dalam kata 'kita'.

Pesanku, dunia ini bukan lah dunia dongeng. Banyak kurang yang tidak mampu di isi oleh semua orang. Dunia ini punya banyak jiwa. Semua jiwa itu tidak akan mampu untuk kamu ubah bagi memenuhi jangkaan mu yang terlalu tinggi.

Kamu pergi ketika aku sedang tumbuh, tumbuh mencari diri bagi membentuk budi.

Patah hati terhebatku adalah ketika aku menyangka kamu yang terakhir. Namun pada hujungnya kamu menjadi yang mungkir.

Tidak mengapa. Tiada siapa yang salah dalam jalan cerita kita. Yang salah hanya keadaan. Keadaan yang mendesak harapan. Terkadang, harapan boleh menjadi makhluk yang paling kejam.

Aku masih di sini. Sedang tumbuh melihat mu bahagia mencari kehendak mu. 

Terima kasih ya, kerana mengajarkan aku bagaimana itu berjuang tapi tidak dianggap. Mengajar juga aku tentang berharap, tapi tidak menetap.

Senja yang Pernah,

- Renotak