Wednesday, 25 July 2018

Berkecamuk


Tekak semakin teruk, Suara dah berhabuk,

Kejadian semasa buat hati berkecamuk.

Dunia sekililing ditebak tiada yang optimis,

Disarung kaca mata gelap nampak hanya pesimis.


Situasi depan mata ligat diludah konklusi,

Hanya terlihat kuku terabai segala isi.

Terkena muka sendiri kau kata “mohon tabayyun”,

Jika terpahat pada orang tingkah kau seakan rabun.


Timbul apa dilaut pantas dipagut dengan rakus,

Kelebihan yang ditindas kau ragut secara halus.

Direnggas segala rezeki lawan tanpa rasa belas,

Ada ubi ada batas, ada hari tuhan cantas.


Biar alah sabung, asal menang sorak,

Setiap perbuatan diundur hati dengan bongkak.

Tersalah perbuatan mohonlah keampunan,

Supaya kemudian tidak timbul rasa kempunan


Dalam setandan pisang tidak semuanya busuk,

Masih ada kebaikan terselit dibalik buruk.

Maaf dari renotak andai tersalah perkataan,

Segala kata yang tercipta pinta direnungkan.


- Renotak -






Sunday, 24 June 2018

Norma Kem


Assalamualaikum.

Penulisan kali ni dah lama aku tulis, cuma baru sampai masanya utk aku ketengahkan dlm blog ni.


Lumrah seorang individu yg bergelar pelajar, pasti pernah menyertai kem motibasi seperti kem kepimpinan, kem jati diri, kem pemantapan rohani dan sebagainya sama ada di bangku persekolahan atau di alam pengajian tinggi ipt. Aku juga salah seorang individu yg tidak terlepas daripada terlibat menjadi peserta.

Sewaktu di alam persekolahan aku pernah terlibat sebagai peserta kem motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ya, kem nya kurang lah dari sudut kematangan berfikir sesuai juga dengan umur kami ketika itu. Apabila masuk di peringkat ipt, aku tertarik akan penganjuran kem kepimpinan dari persatuan di sini. Aku menyertai kem tersebut dengan sangkaan kem ini mungkin berbeza berbanding dengan kem yg pernah aku join sewaktu zaman sekolah dulu dan aku meletakkan harapan yg tinggi dgn input yg boleh aku genggam dlm kem ni. Aku join dengan harapan dapat mencapai objektif yang dimanifestasikan oleh kem itu sendiri iaitu bagi memantapkan lagi kemahiran kepimpinan dan jati diri seorang indivdu.

Namun, sangkaan aku terpesong jauh. Ternyata kem di ipt dan di sekolah tiada bezanya. Mungkin bezanya hanya lah kem di ipt menggunakan konsultan luar yang dibayar beribu-ribu ringgit. 75% masa sepanjang kem itu hanya lah dihabiskan untuk sorakan, jeritan yang kononnya boleh memberi semangat kepada peserta. Terdapat juga tarian-tarian seperti 'chicken dance', tarian hakka dan lain-lain. Tidak ketinggalan juga provokasi yg terlalu berlebihan daripada urusetia/fasi sewaktu aktiviti berlangsung.

Persoalannya, adakah objektif yang pada asalnya ingin menerapkan dan mengasah sifat kepimpinan dan jati diri peserta tercapai ? Adakah bakat kepimpinan dan jati diri boleh dibina dengan cara 'sorakan beramai-ramai' dan juga pelbagai jenis tarian yang wajib peserta hafal pergerakannya ? Adakah sifat kepimpinan boleh dicapai dengan provokasi melampau oleh urusetia program ?

Tak usahlah permainan kanak² ribena sebegitu kalian kelilingkan dengan nilai² kepimpinan dan jati diri. Mengapakah, kem² sebegini tidak menerapkan modul seperti perbincangan/perdebatan mengenai masalah² yg terjadi di sekeliling dan boleh menemui idea² baru hasil daripada masalah yang dibahaskan ? Mengapakah tidak diterapkan sifat suka membaca dan mengkaji kepada para peserta ?

Sifat kepimpinan dan peningkatan jati diri boleh terhasil daripada perdebatan dan perbincangan yang mengeluarkan hujah-hujah ilmiah yang diperoleh dari sifat suka membaca dan mengkaji. Individu itu dapat mempelajari cara penyusunan apabila berkata-kata dan mengawal situasi perbincangan dengan mengeluarkan hujah-hujah yang relevan sewaktu perdebatan.

Tiada masalah untuk diselitkan permainan dan sedikit sorakan semangat sewaktu kem berlangsung bagi tujuan menenangkan kembali pemikiran peserta tetapi tidak perlulah menghabiskan masa yang lama untuk aktiviti-aktiviti picisan sebegitu.

Sifat-sifat proaktif dan produktif bukan lah terhasil secara melulu, tetapi haruslah bermula dari asas ilmu dan kemahiran berfikir yang kukuh terlebih dahulu.

“opinion is the medium between knowledge and ignorance" - plato


-renotak-


Friday, 25 May 2018

Kosong Kontang



Dia' datang jauh nun sana

Lama kau tunggu bersarang dada

Sudah tiba 'dia' kau lonjak gembira

Namun gembira kau itu sementara

Kau layani nya suam-suam sahaja

Kau mahu singgah pada seluruh nya

Singgah mu tidak bersungguh jiwa

Kau siakan 'dia' dgn berbagai bencana

Sekadar beroleh lapar dahaga.


Bila 'dia' pergi kau masih serupa

Hakikat nya wajar kau cuci segala

Tapi kau kekal kosong dada kosong jiwa.

Pulang membawa dosa.

Tidak kata kau.

Tuhan sahaja yg menentukannya.

Tiada teguran insan yg kau terima

Ego terus membengkak parah.


Kau sambut yg baru,

Katanya kau berjaya menempuh seribu rasa,

Tanpa sedar masa terbang kembang dada,

Realiti jalan kau tempuh kontang sahaja,

Fantasi meluas sekata mata.

Gagal.

Saturday, 19 May 2018

Mengejar impian (ramadhan)


Kita lihat pada bulan puasa ini, ramai yg berlumba-lumba utk beramal bagi mengejar impian. Antara Impian kita adalah utk mendapatkan sebulan, bulan ramadhan yg dilimpahi pahala beramal dengan niat kerana Allah. Setiap orang mungkin mempunyai impian yang berbeza pada bulan puasa ini.


Tapi berapakah impian yg dapat kita capai sepanjang bulan puasa ini ? Tidak perlu risau dgn impian yg kita kejar. Tidaklah diukur kejayaan kepada berapa banyak impian yg kita boleh capai, namun berapa banyak perkara yg dapat kita pelajari sepanjang proses mengejar impian tersebut.


Bagaimana kita menjaga marah kita, kesabaran kita, menjaga perkataan di mulut, menjaga apa yg kita dengar, menjaga apa yg kita lihat dan menjaga cara kita berfikir atas sesuatu tindakan orang lain.


Semoga di bulan ramadhan ini, kita sentiasa dilindungi dari hati yg terlupa untuk merendah, lidah yg terlupa utk berkata yg baik dan mata yg telah terlupa bagaimana untuk menangis kepada Allah.


“A dream doesn't become reality through magic, it takes sweat, determination and hard work” - Colin Powell


- renotak -

Wednesday, 9 May 2018

Runtuh dan Bina.



Angan 'si pulan' telah terjadi,

Menunggu jatuhnya 'egois' kleptokrasi.

Tersembam tanah telah terbukti.

Bersama amanah yg telah dikhianati,

Katanya mereka menentu segalanya,

Terlupa marhaen yg menjadi 'raja'.


Terbina pula bumbung yg jitu,

Marhaen menghampar kepercayaan baru,

Berteduh bayang jika perlu,

Seribu janji dinanti selalu,

Berharap bumbung tidak rapuh seperti dulu,

Membina semula negara maju.


Mengejar dunia seribu langkah,

Langkah menapak waspada sentiasa,

Agama rasmi usah tersisih,

Tersadung kaki rebah padah,

Negara punya berbeza manusia,

Semoga harmoni bertambah luar biasa.

Malaysia Sejahtera.


-Renotak-




Monday, 30 April 2018

Pemilihan Skeptikal


Semua ada pilihan dia sendiri, walaupun kau kata yg dia pilih tu korup, zalim, liberal, ekstrimis, penunggang agama, diktator dan pelbagai kategori lain. Itu pandangan kau, dia mungkin ada sebab yg tersendiri utk pilihan dia. Dia ada pendirian dia. Respect la pendirian dan pilihan orang lain. Tidak perlu keji mengeji, maki memaki.


“Ketika berhujah, berilah dia ruang untuk berfikir(dan kita berfikir), supaya dia atau kau boleh berpatah balik jika tersalah. Jgn kejar dia sampai dia lari tak cukup tanah. Beri dia ruang berpatah balik, dia juga ada ego yg perlu dipertahan. Jgn kau menunggu dgn sinis utk dia mengaku kesalahan dia andai dia tersalah”


Susah kita nk ubah pendirian org, yg mungkin telah terpasak di hati berabad lama. Tapi yg kita boleh ubah adalah cara kita melihat perbezaan pada pendirian orang lain. Kau hormat dia, dia hormat kau. Kalau dia tk hormat kau pon, terserah la pada dia. Kau terus la kekal dgn cara yg baik. Akhlak yg baik. 


Siapa tahu mungkin pendirian dia boleh berubah disebabkan akhlak kau yg baik ? Malaysia sejahtera. Selamat memilih.


“You must be the change you wish to see in the world.” - Mahatma Gandhi.


-renotak-

Friday, 13 April 2018

Ketakutan Beroptimis ?


Ketakutan untuk gagal, ketakutan untuk diperbandingkan, ketakutan untuk dinilai orang lain.

Jangan biarkan semua ketakutan ni menghalang kau daripada melakukan apa yg menjadikan kau terbaik. Tak perlu utk kau hidup di dalam ketakutan, jgn biarkan ketakutan menghentikan diri kau.

Susah untuk kau berjaya jika kau mengelak risiko untuk gagal, 

Susah untuk kau bersuara jika kau mengelak risiko untuk dikritik,

Susah untuk kau menyayangi jika kau mengelak risiko untuk menghadapi kehilangan.

Kau kena keluar dari zon selesa dan hadap semua risiko tu. Mungkin orang bagitahu kau supaya melakukan apa yg hanya membuatkan kau gembira. Ya betul kita kena gembira, Tapi bagi aku, kau buatlah perkara yg menjadikan kau org yg terbaik.

Dan untuk menjadi yg terbaik tak semua perkara yg kau lalui akan dikelilingi dgn pelangi dan kegembiraan. Kau perlu tempuh ribut, prahara, taufan, kesedihan, kegagalan. Kau kena ada keberanian utk hadap semua benda tu.

“courage is knowing what not to fear.” - plato


-Renotak-

Monday, 9 April 2018

Gunting Jumpa Lipatan 2017


Kertas kosong bergaris kepercayaan,
Dikeronyok oleh tali persahabatan,
Daging empuk bertulang putih,
Tertusuk tajam merobek belakang,
Tempat mencurah suka duka,
Tidak disangka puncanya luka,
Topeng dikimpal setebal konkrit,
Calar nya tiada dapat dilihat.

Duri menusuk direlung hati,
Setiap rasa menyayat kelam,
Aku belum mati terlupa,
Segala jasa akan dijaga.
Reaksi seperti tiada apa,
Cuba menutup semua dusta,
Jaga-jaga si dua muka,
Tiada apa kekal selamanya.

Jumpa manfaat timbul ada,
Tiada perlu dilupa sisa,
Bertali hanya untuk sesuatu,
Tiada sesuatu putus kaku,
Hidup dunia katanya roda,
Beban menimpa tiada duga.

- Renotak
2017

Sunday, 8 April 2018

Silau Duri


Luntur dalam kepekatan malam,

Sinar mentari menembus jendela,

Nadi meronta beristirahat,

Kedua mata menolak rapat,

Berjuang sungguh dgn jiwa,

Hindar terlelap dari arus nyata.


Terlalu ikut keadaan sekawan,

Telinga melekat kata-kata gerombolan,

Jauh tersasar pendirian diri,

Goyah platform kaki berdiri,

Akal bertemu jalan mati,

Deria hilang dikaburi fantasi.


Menyarung baju entah siapa,

Diarah ikut turut kata,

Tiada persoal apa mengapa,

Mengkaji katanya selesai segala,

Sumber figura buruk tingkah,

Dipolok terima enak sejahtera.


Berlayar kapal melompat ombak,

Melonjak hati menunggu sauh,

Terlihat dermaga indah jelita,

Sukma teruja melabuh di darat,

Tidak menduga bahana menanti,

Cahaya dicari silau dijumpai.


Waspada sentiasa orang muda.

Datangnya cahaya​ dari kegelapan.


- Renotak -

Wednesday, 7 March 2018

Parasit Perbezaan

Assalamualaikum. Lama tak menulis. Aku kembali. Jadi kebelakangan ini kita sering disajikan dgn isu-isu perkauman, politik, agama dan sebagainya. Alah bisa tegal biasa. Perkara ini bukanlah suatu perkara baru, kerana masalah sebegini telah lama berakar di dalam minda masyarakat. Jadi aku terfikir, mengapa ini perlu atau harus terjadi ?

Perkara pertama yg timbul dalam kepala hotak aku adalah perbezaan. Manusia memang mempunyai banyak perbezaan. Perbezaan politik, agama, bangsa, pendapat, fahaman, citarasa, kemahuan, apa yg dia suka, apa yg dia tak suka.

Persoalan yg timbul adalah, adakah semua perbezaan ini boleh disamakan? Agak mustahil kita boleh sama rata kan semua perbezaan. Namun apa yg perlu kita lakukan adalah dgn bertoleransi dan mengharmonikan perbezaan tersebut agar tidak berlaku perselisihan ke atas perbezaan. Kadang-kadang perbezaan ini bukanlah suatu pilihan. Kau dilahirkan berbangsa melayu manakala kawan kau berbangsa cina. Pastu kau expect utk menyamakan perbezaan tersebut ? Lee chong wei makan ketupat pon, dia tetap berbangsa cina weyh !

Bagaimanakah cara nya untuk bertoleransi dan mengharmonikan perbezaan tersebut ? Menjadi seorang manusia cukup perlu untuk kita mempunyai sifat kemanusiaan. Dengan sifat ini lah kita boleh menyatukan agama, bangsa, politik. Dahulukan sifat kemanusiaan sebelum datang nya sifat-sifat yg lain. Perkara keduanya adalah untuk memahami setiap perkara di sekeliling kita terutamanya mengenai semua perbezaan yg ada. Berwaspada dgn parasit perbezaan.

Perbezaan bukanlah untuk dibandingkan dan dikategorikan, tetapi untuk diharmonikan dengan kefahaman dan sifat kemanusiaan.

“You must not lose faith in humanity. Humanity is an ocean. if a few drops of the ocean are dirty, the ocean does not become dirty” - Mahatma Gandhi

-renotak-